Thursday, 24 January 2013

Wow Intelligent - P15

Salam Maulidur Rasul...


Semperna meraikan Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW...marilah kita sama-sama menghayati erti sebenar Maulidur Rasul...

Tanggal  12 Rabiulawal  merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini. Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, tidak mengenal  pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu keberanian. Sehubungan ini Allah mengutus seorang Rasul yang ditunggu oleh umat manusia untuk menghentikan semua kerosakan ini dan membawanya kepada cahaya Ilahi.
Keperibadian Terpuji
Masyarakat Arab  Quraisy  amat senang dengan keperibadian yang dimiliki oleh nabi Muhammad, baginda pernah hidup bersama-sama masyarakat Quraisy, pernah bersama-sama membangunkan semula Kaabah yang runtuh akibat banjir. Baginda  dikenali di kalangan masyarakat Arab sebagai seorang yang baik  budi pekertinya, seorang yang amanah sehingga digelar al-amin. 
Tetapi mengapa tiba-tiba nabi Muhammad menjadi orang yang paling mereka benci? Apakah orang Quraisy tidak kenal siapa baginda sehingga mereka ingin membunuhnya?  Mereka benar-benar telah merancang untuk membunuh nabi Muhammad dengan berbagai-bagai perancangan jahat, namun baginda diselamatkan oleh Allah. Allah merakamkan perancangan jahat orang musyrikin untuk membunuh nabi Muhammad S.A.W akan tetapi Allah telah menggagalkan perancangan mereka. Firman Allah dalam surat al-Anfal ayat 30:

"Ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik ( Mekah )  menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk menjarakkanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat (mereka). Allah sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat".
Ketokohan 
Baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan yang jauh, akal fikiran yang tajam , semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang seharusnya dicontohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Mekah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam  hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan mental dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Oleh itu setiap umat Islam  adalah bertanggungjawab  mempertahankan agama Allah.
Ketokohan nabi Muhammad sebagai manusia teragung yang pernah dilahirkan di muka bumi ini memang tidak dapat disangkal lagi walaupun oleh orientalis-orientalis dari barat. Jika hendak dibandingkan dengan ajaran lain seperti Kristian, Buddha, mahupun Yahudi, Rasulullah (S.A.W) merupakan satu-satunya pengasas agama yang secara jelas sejarahnya diceritakan sejak baginda dilahirkan sehingga baginda wafat. Ketokohan Nabi Muhammad (S.A.W) dalam memimpin sebuah negara, menjadi seorang jeneral perang, menunjukkan contoh yang terbaik kepada umatnya bagaimana untuk menjadi seorang sahabat, ayah, suami, anak dan lain-lain menjadikan baginda sebagai manusia yang teragung yang pernah dilahirkan hingga ke hari ini.

Kesimpulan

Oleh yang demikian wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah (S.A.W) dan mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan manusia sejagat.  Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah s.a.w. dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik.


No comments:

Post a Comment